JOMLAH KLIK UNTUK TAHU LEBIH LANJUT

>

Saturday, July 2, 2011

Tahniah 7 novel ALAF 21

7 novel jadi telefilem

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my (dipetik daripada http://www.hmetro.com.my/articles/7noveljaditelefilem/Article )

PENERBITAN novel berbahasa Melayu tidak kurang hebatnya jika dibandingkan novel berbahasa Inggeris. Ini terbukti dari segi penjualan serta pengiktirafan yang diperoleh novel tempatan lebih-lebih lagi yang diterbitkan Alaf 21.

Selepas Lagenda Budak Setan serta Ombak Rindu dilayarkan ke filem, kini
Global Station Sdn Bhd melihat ia sebagai peluang untuk memberikan yang terbaik kepada penonton dengan cara berbeza. Tidak memilih skala besar filem, Global Station menggunakan pendekatan menerbitkannya ke bentuk telefilem dan drama bersiri.


Penerbit Global Station, Datin Zaiton Mohd Jiwa berkata, mengangkat karya novel ini adalah sebagai satu usaha untuk mengikut peredaran semasa serta menyokong kesusasteraan Melayu untuk berkembang semula.

“Adaptasi novel kepada filem dan drama seakan-akan menjadi satu ‘trend’ yang semakin diminati. Sebagai pihak produksi, kepuasan penonton adalah keutamaan kami dan kerana itulah kami terpanggil untuk melakukannya.

“Pada masa sama, kami melihatnya sebagai satu acara mempopularkan kembali minat membaca, sekali gus menyokong karya penulisan sastera Melayu.

“Bahkan, seperti yang kita sedia ketahui, bahan bacaan seperti novel menampilkan jalan cerita yang cukup menarik dan ini membantu kami menyajikan produk bermutu buat penonton drama tempatan,” katanya.

Zaiton yang mesra dengan panggilan Kak Ton di kalangan media dan penggiat seni, memilih tujuh novel popular terbitan Alaf 21 untuk diadaptasikan ke dalam drama.

Karya itu adalah Jauh, Manisnya Cinta, Kau Yang Satu, Tiada Yang Kedua, Kau Untukku, Bayangan Rindu serta Adam dan Hawa. Semuanya akan ditayangkan menerusi saluran Astro Warna dan Citra.

Majlis memorandum dengan pihak Alaf 21 merangkap pelancaran tujuh drama itu turut dihadiri Penerbit Eksekutif Karangkraf Sdn Bhd, Firdaus Hussamuddin; Pengurus Saluran Astro Citra, Shoba Devi dan Pengurus Saluran Warna, Nizam Sani.

Mengenai pemilihan tujuh novel itu, semestinya ia dipilih berdasarkan popularitinya selain jalan cerita berbeza-beza, namun masih sarat dengan pengajaran seiring ‘trademark’ Global Station sebelum ini.

“Ketujuh-tujuh novel itu dipilih berdasarkan populariti novel itu di pasaran. Salah satunya yang paling saya minat adalah Adam dan Hawa yang menceritakan kecekalan seorang wanita. Ceritanya yang menarik dan memberi inspirasi kepada semua.

“Saya difahamkan, tujuh novel yang dipilih antara 10 novel yang mencatat jualan tertinggi di Alaf 21 dengan jualan melebihi 80,000 unit,” katanya.

Mengenai kos pembikinan pula, Kak Ton tidak menafikan kosnya lebih tinggi berbanding drama biasa memandangkan ada sesetengah jalan cerita membayangkan watak sedang berada di negara tertentu.

“Menyentuh naskhah Adam dan Hawa misalnya, ada bahagian babak yang penulis bayangkan di Perth, Australia dan Makkah. Justeru, untuk menterjemahkan novel ke bentuk drama dan mengekalkan kesamaan jalan cerita, kami sebagai penerbit harus melabur untuk mendapatkan visual sebenar seperti dinyatakan penulis,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Ekskutifnya, Zetty Adila menambah, tujuh novel itu dipilih kerana ia menampilkan jalan cerita serta mesej yang berlainan manakala kumpulan Hujan dilantik untuk menghasilkan lagu tema untuk drama yang berkenaan.

“Dalam semua tujuh novel itu, enam daripadanya akan kita adaptasi kepada telefilem manakala yang satu lagi iaitu Adam dan Hawa akan diadaptasi kepada drama bersiri. Kita tidak menjanjikan apa yang dibayangkan dalam drama 100 peratus sama dengan novel, tetapi kita pastikan isi atau cerita asalnya tak akan lari.

“Memastikan keasliannya terjaga, kita memilih penulis skrip yang sesuai dan berkemampuan iaitu Rozie Rashid dan Zaleha Hassan untuk menterjemahkan semula naskhah novel itu kepada skrip drama,” katanya.

p/s: Tahniah novelis hebat: Aisya Sofea, Anis Ayuni, Sania Yasmin dan Nia Azalea.....Hampir kesemua novel itu saya dah selamat membacanya....Tak sabar sungguh untuk menantinya di kaca televisyen

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca blok kongsi karya. Sudilah kiranya menitipkan komentar untuk saya memperbaiki garapan ini.