JOMLAH KLIK UNTUK TAHU LEBIH LANJUT

>

Monday, July 4, 2011

Cerpen ANAK VS SUAMI

Cahaya mentari yang telah sirna menghasilkan panorama yang redup dan gelap. Malam yang ditunggu-tunggu ini sinonim degan istilah rehat dan tidur. Ramai insan yang menantikan malam untuk merebahkan tubuh yang keletihan bagi mengembalikan semua tenaga yang hilang. Namun Izyan masih setia di sofa ruang tamu rumahnya.
Perutnya yang semakin membengkak dielus-elus lembut. Dia tersenyum sendiri. Wajahnya bercahaya, ceria dan bahagia. Seluruh alam serasa turut mengiringi kegirangannya. Kesakitan yang dirasakan di sekujur tubuh kecilnya sedikit pun tidak mematahkan putik-putik harapan yang telah lama berkembang membentuk warna-warna kegembiraan dan keriangan. Inilah suatu perasaan yang telah lama dinanti-nantikannya. Perasaan tulus dan suci yang telah lama dirangka di benaknya dan kini benar-benar dialaminya. Perasaan seorang wanita yang bakal memilik cahayamatanya sendiri.
Izyan senyum lagi. Majalah di tangan dibelek-belek tanpa penghayatan yang penuh. Peti televisyen yang mempertontonkan telefilem Melayu turut tidak berjaya menarik minatnya. Dia seakan-akan berada di awang-awangan, terperangkap di sebuah dunia khayalan yang penuh keindahan. Akhir-akhir ini bayi di dalam kandungannya semakin aktif bergerak, tubuhnya lesu kerana tidurnya semakin terganggu. Ada saja gerakan halus yang mengejutkannya dari lena yang sebentar cuma.
“Senyum seorang nampak,” tegur Syuaib, suaminya. Izyan tersipu-sipu. Pasti adegan khayalannya telah diperhatikan oleh sang suami sejak tadi.
“Yan fikirkan apa?”
Izyan menggeleng-geleng. Malu untuk berkongsi skrin khayalannya yang berjaya diterjah oleh sang suami. Syuaib mendekatkan diri. Wajah isterinya yang semakin tembam dan ceria ditenungnya. Hidung Izyan ditariknya lembut. Dia faham maksud keriangan itu, malah dia sendiri berkongsi akan perasaan itu. Siapalah yang tidak akan bahagia menunggu detik-detik manis kelahiran buah cintanya sendiri. Melihat sendiri kekuasaan ILAHI dalam kewujudan bayi di dalam kandungan dan melihat perut sang ibu rupawan membesar dari hari ke hari benar-benar menerbitkan rasa keinsafan dalam hidupnya.
“Tak mahu berkongsi dengan abang ke?” duga Syuaib lagi. Izyan hanya tersengih.
“Yan fikirkan tetang anak kita. Tak sabar rasanya nak lihat dia keluar dari perut Yan. Agak-agaknya ikut muka siapalah dia nanti,” ucap Izyan lembut. Akhir-akhir ini mudah benar fikirannya berkelana memikirkan hanya yang terindah untuk bayi dalam kandungannya. Hinggakan pembelajaran dan perkahwinan anak turut terlintas di sanubarinya. Malu dia untuk bercerita hal yang sebenar.
“Abang tengok Yan selalu sangat bermenung sekarang. Abang faham hati Yan tapi Yan lebih banyak bersendiri sekarang. Kadang-kadang abang bercakap dengan Yan pun, Yan sempat mengelamun juga.” Syuaib meluahkan rasa hatinya. Sudah lama dia mahu menimbulkan persoalan ini namun bimbang hati isterinya akan terguris. Almaklumlah wanita mengandung, hatinya amat sensitif. Bimbang juga jika selepas kelahiran bayi yang ditunggu-tunggu, isterinya akan terus melupakan kehadirannya dalam dunia rumahtangga.
Izyan mengangkat muka, memandang wajah suaminya. Hatinya sayu, teguran lembut suaminya menusuk kalbu. Sungguh itu semua diakuinya. Dia terlalu menunggu kehadiran bayi ini. Apa tidaknya di kalangan kakitangan wanita yang bekerja di pejabatnya, dialah satu-satunya yang masih belum mempunyai cahayamata. Rasa tertekan hadir menerjah hatinya. Suaminya itu tidak pernah memaksa malah semenjak hari pernikahan mereka, Syuaib terlalu baik buatnya. Dialah suami dan dialah sahabat. Malah suaminya itu tidak pernah mengasaknya dengan persoalan cahayamata. Airmatanya tumpah ke pipi. Pantas tangan kasar milik suaminya menyeka butiran-butiran jernih itu.
“Maafkan Yan bang. Yan sedar kesilapan Yan. Yan lebih banyak menyendiri sekarang,” ucapan Izyan padat dengan esakan.
“Abang maafkan. Kerana abang sayangkan Yan dan rumahtangga kitalah, abang berterus-terang juga dengan Yan walaupun hakikatnya pahit umpama hempedu,” balas Syuaib.
“Abang perlukan Yan yang dulu. Yan yang abang kenal selepas tarikh pernikahan kita dua tahun lepas. Yan yang suka berdamping dengan abang. Yan yang suka bercerita dengan abang. Abang suka melihat Yan di sebelah abang seperti dulu. Menghabiskan masa bersama-sama. Bergurau-senda. Abang tidak mahu kehilangan Yan,” sambung Syuaib. Tubuh isterinya dirangkul.
Wajah wanita yang dicintai sepenuh hati ditenungnya lembut. Dia tidak mahu menjadi seperti Kifli rakan sepejabatnya yang mencari wanita lain semata-mata berasa hati diabaikan sang isteri yang lebih mengutamakan anak-anak. Sungguh dia tidak mengharapkan agar dilayan seperti seorang raja namun cukuplah agar masa-masa yang terluang dimanfaatkan bersama agar kasih sayang antara mereka lebih erat terpateri. Apalah gunanya berumahtangga sekiranya masing-masing menyendiri menjalani rutin hidup yang tersendiri.
“Yan pun sayang abang. Abanglah satu-satunya lelaki yang berjaya mencuri hati abang,” ucap Izyan sepenuh hati.
Yan akan cuba buang hobi baru Yan tu. Yan akan korek balik hobi lama Yan,” usik Izyan dalam tangisan. Airmatanya masih menitis sedari tadi. Mujur dia belum terlewat dalam mengejar hati suaminya sendiri.
“Oh! Maknanya abang ni cuma hobi lama Yan jalah ya. Apalah nasib badan. Yalah! Dah dapat gading bertuah, tanduk sudah tidak berguna lagi,” Syuaib pura-pura merajuk. Bibirnya mencebik namun hatinya tertawa, sengaja mahu melihat reaksi sang isteri.
Izyan tergelak melihat usikan suaminya. Syuaib yang kelakar, penyayang dan penyabar. Itulah kriteria istimewa yang menunjangi watak lelaki itu. Sungguh pernikahan mereka benar-benar membahagiakan hidupnya. Ketawa ria kedua mereka bergema di ruang tamu sederhana besar itu.
“Jom,” Izyan menarik tangan suaminya. Wajah Syuaib penuh tandatanya. Ulas senyum di wajah sang isteri tidak dapat merungkaikan tandatanya yang bermaharajalela.
“Nak pergi mana?”
“Nak pergi jumpa Mr. Tan.” Izyan tersenyum-senyum.
“Mr. Tan mana pula ?” Syuaib berdiri menuruti isteri kesayangannya. Pegangan tangan mereka dikejapkan.
“Mr. Tandas,” ketawa Izyan meledak.
“Oh! Nak kenakan abang ya,” hidung Izyan ditarik sekali lagi. Izyan segera terkocoh-kocoh melepaskan genggaman tangan suaminya. Sempat dia bersyukur ke hadrat ILAHI kerana memberikannya kesempatan bergelar seorang isteri dan bakal ibu, Insya ALLAH kedua-dua kurniaan itu tidak akan dipersiakannya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca blok kongsi karya. Sudilah kiranya menitipkan komentar untuk saya memperbaiki garapan ini.