JOMLAH KLIK UNTUK TAHU LEBIH LANJUT

>

Wednesday, July 6, 2011

SIRNA MUSIM BUNGA BAB 1

BAB 1
Petaling Jaya, Selangor : Muhamad Adib : Sekarang

Terik mentari petang menghangatkan alam nan indah, bersaksikan awanan putih di dada langit. Kawasan Lembah Klang tidak pernah sunyi daripada bayangan ribuan manusia yang tetap meneruskan aktiviti seharian di celah debu-debu kota dan hiruk-pikuk kenderaan bertali arus di jalan raya. Di satu sudut kelihatan Adib, seorang eksekutif di sebuah syarikat pengiklanan yang sedang meningkat naik memandu kereta dalam keadaan tergesa-gesa menyusuri Lebuhraya Persekutuan.


Kurang setengah jam yang lalu, dia membawa kereta keluar daripada lot parkir sebuah gerai makan di Pantai Dalam. Perutnya memulas-mulas tidak selesa, berangin dan rasa hangat terbit di ulu hati. Lidahnya terasa pahit dan tekaknya terasa mual. Hatinya mengeluh sendirian memikirkan kehadiran simptom ini di waktu yang kurang sesuai. Buat kali kedua dalam bulan ini dia diserang diarrhea, akibat jadual makan yang terganggu. Tak dapat dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduannya. Jari-jemarinya dikejapkan pada stereng kereta Toyota Rush hitam berkilauan miliknya.


Di Lebuhraya Persekutuan yang dibina menghubungkan bandaraya Kuala Lumpur dan Bandar Klang, Selangor itu, kenderaan berpusu-pusu menyusuri lorong. Almaklumlah waktu makan tengahari; ramai yang keluar memandu untuk mengisi perut yang berkeroncong, apatah lagi si Adib yang tidak sempat bersarapan pagi tadi.

Dia tidak menafikan bahawa dia makan terlalu banyak, melebihi keperluan tubuh, melampaui ruang kosong di dalam perut dan memaksa sistem penghadamannya berfungsi melewati kebiasaannya. Nasi yang bertimbun, seketul peha ayam goreng, gulai daging, kerabu kerang, ulam timun dan sambal belacan disusuli dengan sirap limau ais. Apabila rakannya Din menegur. Pendek dia menjawab.


”Aku double pengambilan lunch. Lapar… tak sempat breakfast. Banyak kerja. Tak
payahlah hang pandang aku macam tu. Aku faham bebenor dah.”


”Hang ni, tak sudah-sudah. Breakfast tu penting tau untuk mengembalikan tenaga dah hilang,” pantas Din membalas.


Dia amat memahami penyataan Din yang berulangkali didengar tetapi sungguh dia tidak dapat mencuri masa untuk mengisi perutnya pagi tadi.


Setiba di pejabat, En. Azmi Shahid, Pengurus Besar datang menjenguk meminta penjelasan mengenai iklan syampu terbaru yang masih belum siap. Puas juga dia menerangkan kedudukan masalah kelewatan iklan tersebut yang berpunca daripada pindaan warna grafik oleh pelanggan di saat akhir. Kemudian segera dia bergegas ke bangunan The Gardens yang letaknya bersebelahan dengan Midvalley Megamall dan dihubungkan secara unik oleh sebuah jambatan; menemui pelanggan terbaru syarikatnya. Segera selepas itu dia ke Pantai Dalam untuk makan bersama rakan serumahnya, Din.


Sepanjang malam tadi dia meneliti portfolio syarikat terbabit bagi memahami bidang perniagaan mereka serta produk-produk yang dipasarkan. Dia tidak mahu hadir menemui pelanggan tanpa sebarang idea mengenai perniagaan yang dijalankan. Baginya pertemuan pertama amat penting, dia membawa imej dan reputasi syarikat. Di bahunya tergalas kepercayaan majikan serta rasa tanggungjawab terhadap jawatan yang disandang. Tidak sekalipun dia menjalankan tugas sambil lewa, segala perkara berkaitan akan diteliti sedalamnya.


Mengikut prinsipnya dia akan melakar beberapa perancangan sebagai cadangan pertama, kedua dan ketiga. Perancangan itu akan dibentangkan dan dilaporkan kepada pengurus dan pasukan kerjanya terlebih dahulu sebelum ia dikemukakan kepada pelanggan. Segala penambaikan akan dilakukan secepat mungkin.


Kenyamanan pendingin hawa kereta tidak dirasai oleh Adib lagi, ia seolah ditenggelami rasa hangat dan terik panas mentari di waktu jam menunjukkan 1.45 petang. Bahangnya terasa di jari jemari dan dia mengusap-usap anak rambutnya yang kemas tersisir. Sedari tadi dia terpaksa memandu mengekori sebuah kereta kancil biru metallic yang bertanda P, yang dipandu terlalu berhati-hati. Hatinya panas tidak sabar, sudahlah perutnya memulas-mulas. Pantang sungguh dia kerana tidak dapat memecut dalam keadaan begitu, dia perlu segera mencari tandas berdekatan.


”Ni mesti pemandu perempuan,” mulutnya membebel sendirian. Stigma biasa yang sering diimaginasikan oleh para pemandu di jalan raya. Terlihat seorang wanita bertudung ungu cerah di sebalik kerusi pemandu.


”Ha kan betul aku kata. Agaknya bawa kereta kurang 20 km/jam. Macam kura-kura. Ish.. geramnya. Sampai esok pun tak sampai. Takkan bawa kereta otomatik pun macam ini,” bebelannya disambung. Perutnya ditekan-tekan perlahan dan wajahnya berkerut menahan rasa tak selesa yang masih bersisa sedari tadi.

”Kalau nak bawa perlahan, janganlah bawa kat lorong tengah. Diam-diamlah kat
lorong kiri. Aku dah tak sabar ni. Dahlah isi perut aku dah nak terkeluar ni,” hatinya mendidih sendiri, dia sudah tidak berupaya menahan rasa kurang enak yang menjalar di perutnya. Mujurlah juga organ pencernaan itu tidak meletup dan keretanya menjadi mangsa. Dek kerana kemujuran dan kekalutan menahan ketidakselesaan yang bermaharajalela sejak tadi, kereta kesayangannya itu melanggar kereta hadapan yang diekorinya dengan rapat sedari tadi.


”Dummm…,” dentuman yang kuat kedengaran. Adib merasakan keretanya bergoyang dan dia mengeluh sendiri memikirkan kecuaiannya mengekori kereta kancil itu terlalu hampir lantas tidak menyedari pemandu hadapan menekan pedal brek secara mendadak menyebabkan kedua kereta itu bertembung. Lantas dia menukar halaju dan memasukkan gear 1.


”Astaghfirullahalazim. Habislah kereta aku,” bibir Adib mengeluh. Mujur juga kereta di belakang memandu agak jauh, mengelakkan daripada perlanggaran demi perlanggaran berlaku dan lebih banyak kenderaan terlibat. Di kala beribu kenderaan bersesak-sesak menyusuri lebuhraya, pelbagai kejadian yang tidak diingini boleh berlaku.


Hati Adib muram sendiri memikirkan bahawa dialah punca kemalangan itu. Segera dia menekan hon berulangkali, membuka cermin kereta dan menjerit meminta wanita bertudung ungu cerah itu bergerak ke bahu jalan. Syukur juga kedua-dua kenderaan masih boleh bergerak; jika tidak, pasti lebuhraya akan bertambah sesak dan perjalanan kenderan lain akan terganggu.


Adib memberhentikan keretanya di bahu jalan. Rasa terujanya sedari tadi untuk memandu laju bagi menghilangkan gelodak perutnya hilang bagaikan ditiup angin. Segera gear bebas dimasukkan dan brek tangan diangkat. Keretanya dipastikan terkunci sebelum dia sendiri keluar melihat kerosakan yang berlaku pada kereta kancil tersebut serta keretanya sendiri. Kepalanya menggeleng perlahan melihat bampar belakang kenderaan comel itu telah terkoyak dek perlanggaran tersebut manakala cat hitam tercalit merosakkan warna asal kereta tersebut. Toyota Rushnya sendiri pecah lampu hadapan dan warna biru metallic terpalit tidak sekata pada bampar hadapannya.


Pemandu kereta kancil yang nampak bersih dan kemas itu masih tidak melangkah keluar dari kereta. Adib teragak-agak untuk menghampiri dan mengetuk pintu hadapan pemandu, memikirkan reaksi spontan yang akan dipamerkan oleh pemandu terbabit. Lidahnya melafazkan kalimah yang mulia.

”Bismillahirrohmanirrohim,” tubuh sasanya digerakkan perlahan-lahan menghampiri kereta tersebut. Kolar kemeja biru mudanya mulai lembap dek peluh yang menitik akibat rasa bahang mentari. Adib mengetuk perlahan cermin pemandu kereta kancil dan mengisyaratkan supaya cermin itu dibuka.

Wanita tersebut menurunkan cermin tingkapnya sedikit.


”Sekejap ya, saya sedang telefon,” nyaring suara itu bagai pernah kedengaran di gegendang telinga Adib. Suara itu jelas gugup dan bergetar. Adib mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan. Dia mengalihkan pandangannya semula ke arah tempat duduk belakang kereta, kelihatan beberapa novel terbitan Buku Prima Sdn. Bhd. yang mempunyai grafik kulit yang menarik dan matanya turut tertancap ke arah beberapa buku resipi yang turut diterbitkan oleh penerbit yang sama.


‘Emmm ulat buku rupanya,’ hatinya berdesis perlahan dan bibirnya menguntum senyuman bagi menenangkan hatinya.


‘Wei tenanglah Adib. Tak payahlah kalut sangat. Bukan boleh ulang masa pun,’ hatinya menggumam sendirian dan deria pendengarannya menangkap beberapa patah perbualan di antara wanita itu dengan seseorang melalui telefon bimbit.

”Humaira dah bawa perlahan macam nasihat abah tu.”


”Tak abah, Humaira tak duduk kat lorong laju pun. Humaira kat lorong tengah. Kereta itu yang salah, dia ikut dekat sangat. Bila Humaira brek, dia langgar,” wanita itu menerangkan kejadian kemalangan yang berlaku.


’Aik, aku pula yang salah!’ gumam Adib.


”Humaira brek sebab kereta depan brek. Humaira takut kereta tak sempat perlahan nanti terlanggar kereta depan,” panjang lebar penjelasannya diberikan.


”Kereta hitam Toyota Rush abah. Budak handsome debab.” Adib membulatkan mata tidak memahami penyataan aneh itu.


’Budak ni biar betul. Takkan tak keluar dari kereta lagi dah boleh nampak muka aku yang handsome ni. Agaknya handsome muka aku ni setanding dengan Brad Pitt kot!’ bisik hati kecilnya tidak percaya.


’Perasan,’ dia tertawa sendiri.


‘Tapi takkan dia kata aku, budak handsome debab’ hatinya berbicara sendiri. Bibirnya mengukirkan senyuman manis menandakan bahawa jiwanya berbunga riang mengenangkan kata-kata pujian itu. Perasan!


‘Tak sangka aku ni handsome jugak eh… tapi aku tak debablah’ dia berasa tidak puas hati dengan anggapan tersebut dan hatinya segera menafikan penyataan itu.

”Cis…dahlah sebabkan kereta aku calar-balar, siap boleh menggelar aku macam tu. Tak puas hati ni. Nak kena ceramah budak ni nanti,” bibirnya menggetus perlahan. Dia terdengar keriut bunyi pintu kereta dibuka secara berhati-hati dan derap-derap kasut perlahan kedengaran menghampiri. Wanita bertudung ungu muda itu sudah tercegat di belakang Adib. Entah mengapa hatinya berdetak-detak membentuk sebuah irama yang sudah lama tidak bergetar di dadanya.


”Encik,” suara wanita itu kedengaran dan Adib segera berpaling. Matanya terpandang wajah seorang wanita melayu, manis bertahi lalat dan berkulit kuning langsat. Wanita itu berpakaian baju kurung putih sutera dan berbunga kecil berwarna ungu; di celah-celah bunga kecil itu terselit labuci-labuci yang dijahit ekslusif mengikut corak bunga.

”Encik,” kali ini nada suara wanita itu semakin tinggi dan Adib menyedari wanita itu nampak menggeletar sedikit dan jari-jemarinya yang menggenggam telefon bimbit kelihatan menggigil.

”Maaf tak sengaja terlanggar kereta cik. Cik bawa kereta boleh tahan perlahan dan
saya tak dapat nak agak jarak pemanduan kerana cik asyik brek sahaja daripada tadi,” bait-bait perkataan itu akhirnya keluar daripada bibir Adib yang berkumis halus, rapi terjaga. Wanita itu tampak tersenyum sedikit.


‘Manis’ sempat lagi hati Adib memuji.


”Ok ok. Sebenarnya encik pun tak berapa salah. Maaf, sebenarnya inilah hari pertama saya bawa kereta sendiri kat sini. Pening sebab terlalu banyak kereta kat lebuhraya ni. Sesak pulak tu,” wanita itu menjelaskan.


Adib mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami. Senyuman wanita itu dibalasnya. Perbualan mereka bertambah panjang, bercerita semula mengenai situasi perlanggaran yang tidak disengajakan itu disusuli dengan anggukan dan gelengan kepala sesama mereka. Sesekali kedua mereka berbalas pandangan. Masing-masing mengeluh mengenangkan kembali kejadian itu.


”So.. ,” dia terdengar suara wanita itu agak teragak-agak.

”Sogo lah,” Adib menjawab nakal. Segera gurauannya memotong ayat wanita itu dan dia rancak tertawa.


Dia memahami hasrat yang tersirat di hati wanita. Sengaja dia mahu menyakat. Namun wanita itu tampak kurang faham dan hanya membisu membatukan diri. Daripada kerutan yang terukir di dahi wanita muda itu, dia faham bahawa minda wanita itu ligat berfikir, cuba memahami gurauannya dan selepas beberapa saat, wanita itu akhirnya tersenyum sedikit tanda memahami.


”Takpa saya akan bayar kerosakan kereta cik. Saya pun malas nak besar-besarkan perkara ini. Cik hantar aja kereta di bengkel, minta anggaran bayaran kerosakan dan saya akan bayar wang pendahuluan dulu,” Adib menyeluk poket seluar panjang Tommy Hillfiger berwarna hitam yang dipakainya dan dia menghulurkan kad perniagaannya kepada wanita bertudung ungu cerah itu.

”Nama saya Adib. Ni kad saya. Nanti beritahu saya anggaran bayaran kerosakan ya,” pantas Adib mencadangkan jalan penyelesaian yang terlintas di fikirannya.


”Nama cik?” Adib bertanya lagi apabila melihat wanita itu hanya mendiamkan diri.


”Saya Sarah Humaira. Tapi saya sebenarnya er… tak berapa tahu bengkel di sini,” segera wanita bernama Sarah Humaira itu menerangkan dan dahinya berkerut mengukir garisan halus. Segera Adib melihat ke arah jam tangan di pergelangan tangan kanannya.

”Emm.. kalau macam tu, cik ikut saya dari belakang. Kita pergi bengkel kawan saya di Bangsar. Dekat dengan Bangunan IKU. Lepas tu saya hantar cik pulang ke pejabat. Pejabat cik di mana?” soalan Adib segera menerjah apabila dilihat Sarah Humaira hanya mendiamkan diri bersetuju dengan pendapatnya.


”Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1,” pantas suara Sarah Humaira menjawab.

”Bagus-bagus. Pejabat saya di Pusat Dagangan Phileo Damansara 1. Tak jauh lah tu. Ha jom kita pergi sekarang.”

”Encik,” mendengar panggilan itu, Adib menoleh memandang raut wajah manis yang sedari tadi menggetarkan jiwanya. Sungguhlah definasi kecantikan itu amat luas. Meskipun selama ini dia telah bertemu dengan ramai wanita lebih menarik, anggun bergaya; sukar benar hatinya untuk terpaut. Tetapi kali ini, dia sudah tidak mampu menolak kata hatinya; benar wanita itu telah menawan hatinya kini. Bukan hanya kini tetapi sejak dulu sewaktu dia bergelar seorang pelajar lagi. Di sini rupanya gadis yang pernah mengusik hatinya bersembunyi; berselindung di sebalik hiruk-pikuk jalan raya.

’Tak sangka rupanya kau ni puteri jalanraya wahai gadis. Namun silap kau juga gelaran itu tidak mencerminkan cara pemanduan kau yang nampak serba tak kena,’ hatinya berbisik nakal. Dia tersenyum memandang wajah manis itu.


”Tak perlulah encik panggil saya cik, panggil saja saya Humaira,” wanita itu tersenyum meluahkan kata.


’Wah! Senyuman kau bikin aku jadi sasau. Malam ini pasti tidur aku tidak lena. Silap-silap mengigau,’ ulas hati Adib tanpa sedar. Sekilas dia beristighfar beberapa kali selepas itu.


”Baik. Saya panggil Humaira. Humaira pun tidak perlu panggil saya encik. Panggil saja Adib,” balas Adib.


Senyuman ikhlas yang terukir sedari tadi masih mekar menghiasi wajah tenangnya. Humaira menggangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dan membuka pintu hadapan kereta kancilnya.

Adib segera beralih menuju ke keretanya yang kelihatan tidak kacak lagi di mata lelakinya. Dia menggeleng-gelengkan kepala dan fikirannya merancang masa untuk menghantar kereta itu ke bengkel selepas ini.


Pantas sungguh masa berlari meninggalkan insan yang sentiasa merasakan ketidakcukupan waktu dalam melaksanakan tugas seharian. Detik bertukar saat, saat bertukar minit dan minit bertukar jam; tibalah masa perpisahan antara Adib dan Humaira pada detik mereka mula merasakan bahawa mereka pernah bertemu sebelum ini. Namun hanya masa yang akan menentukan sama ada erti pertemuan kedua ini menjanjikan jaminan sebuah kebahagiaan buat dua hati yang mula merasakan satu penyesuaian.


”Emm... sampai dah kat Merchant Square,” Adib memberhentikan kereta dengan berhati-hati di tepi sebuah kereta Toyota Avanza hijau. Matanya memerhati ke arah bangunan yang pernah dikunjunginya beberapa kali sebelum ini.

”Ok. Terima kasih Adib.” Humaira melangkah keluar sambil fikirannya berlegar-legar cuba mengingatkan pertemuan pertama mereka sebelum ini yang samar-samar hadir dalam ingatannya.


”Eh Humaira, awak tak bagi nombor telefon tadi. Boleh bagi sekarang,?” celah Adib mematikan langkah Humaira.


’Nasib baik ingat nak minta.’


Perpisahan keduanya bagaikan mengungkapkan permulaan sebuah kisah. Perjalanan Adib ke Pusat Dagangan Phileo Damansara 1, disertai dengan satu kepuasan dalam hatinya. Dia pasti dan teramat pasti, itulah Humaira yang pernah ditemuinya di Perpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia suatu masa dulu. Insan istimewa yang sentiasa bertakhta dalam hati, menjadi ratu dalam jiwa dan tegar bersemadi di sanubarinya. Cuma kali ini Humaira hadir pada detik waktu yang kurang tepat. Ketidaktepatan yang membangkitkan perasaan ketidakpastian di hati Adib sendiri dan mencalar balarkan prinsip hidupnya sekali lagi. Ketika itu, perut Adib memulas-mulas semula dan tercetus satu patah perkataan dari bibirnya.

”Sarah Humaira,”


Bibirnya mengulas senyuman lagi dan hatinya berbunga riang. Alam ini dirasakan semakin indah selepas kekosongan hatinya terisi. Diisi oleh wanita muda yang hanya dijumpainya semula selepas lapan tahun.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca blok kongsi karya. Sudilah kiranya menitipkan komentar untuk saya memperbaiki garapan ini.