JOMLAH KLIK UNTUK TAHU LEBIH LANJUT

>

Thursday, August 11, 2011

24 Mei 2011 : 12 malam

Tengah aku enak-enak masak 'pancake' tadi. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh ibu daripada belakang. Mak oi! Aku bukan setakat melompat malahan aku menjerit macam orang kena geletek dengan tupai. :)


Ibu senang saja. Sengih memanjang lah.


"Ibu, kenapa tak bagi salam? Terperanjatlah Maya. Nasib baik Maya tak keluarkan aksi silat Maya tadi. Kalau tak, habislah ibu."


Sengihan ibu bertambah lebar.


"Eleh! macam pandai bersilat. Berangan!"


"Yalah dulu Maya nak masuk kelas silat, ibu tak bagi," keluh aku.


Terkenang peristiwa silam lah tu.


"Amboi, salahkan ibu pula. Awak tu dulu yang banyak alasan. Takutlah. Misai cikgu silat panjanglah. Sakit kaki lah. Awak kan pandai mereka alasan sebab itulah berhenti kerja pun tak bincang dengan ibu dan ayah dulu kan."


Ops tajamnya sindiran ibu, sampai menusuk ke jantung aku. Tersentuh dan terluka bagai ditusuk sembilu bisa. :) Dengan kata-kata itu, aku hanya mampu terdiam dan tak mampu mengarang sebarang alasan lah.


"Masak apa malam-malam?"


"Masak 'pancake'. Ibu nak?"


"Mestilah nak. Kalau anak dara ibu esok kahwin dan dibawa sang arjuna merantau entah kemana, tak dapatlah ibu nak merasa masakan anak dara ibu lagi," usik ibu.


Aku hanya tergamam. Kesitu pula sampainya kata-kata ibu. Sedih hati aku dibuatnya.


"Sebab itulah Maya berhenti kerja. Nak jaga ibu dan ayahlah."


Wow! Pandai pula aku menjawab.


"Oh! sebab itu rupanya. Baru ibu tahu. Tapi kalau awak tak kahwin, ibu lagi risau. Siapa nak jaga awak kalau ibu dan ayah sudah tiada nanti."


Riak suara ibu sudah berubah. Daripada nada mengusik kepada nada sedih. Tak boleh jadi ni! Banjir dapur rumah ni nanti!


"Budak tembam tu kan ada."


Aku sengaja ingin membawa perbualan itu supaya ceria sedikit.


"Naim itu lelaki, esok-esok kalau dia kahwin, takkan awak nak jadi pembantu rumah dia pula."


Oh! tidak. Kalau sampai jadi pembantu rumah Naim, tak mahu aku. Mesti sakit tangan aku, memasak tak henti-henti. Bukan aku tak tahu hobi si Naim tu. Hobi pertama makan. Hobi kedua makan. Hobi ketiga makan. Aku memang dah arif sangat.


"Dahlah tu ibu. Jom kita makan."


Aku menghidangkan 'pancake' di atas piring putih berbunga-bunga merah darah. Air teh tarik yang aku buat dalam bekas minuman putih tu aku bahagikan dua. Syukurlah! nampak berselera ibu makan. Aku takut ibu masih terbawa-bawa dengan kesedihan tadi.


"Lepas ni jangan tidur. Badan jadi ikan buntal nanti. Tak muat pula baju pengantin."


Mendengar usikan ibu, aku tertelan sepotong 'pancake' yang baru aku suakan masuk ke dalam mulut. Tak sempat aku kunyah 40 kali. Terperanjat aku.


"Lambat lagilah ibu. Calon pun belum ada."


"Lambat bila lagi? Awak tu dah 27 tahun. Takkan nak tunggu si Naim. Diakan baru tingkatan 4. Umur macam awak ni dah sesuai sangat."


"Nantilah dulu ibu. Malas nak fikir lagi. Maya akan baru berhenti kerja. Nak kena fikirkan kerjaya baru pula."


"Tulah, dulu dah elok-elok kerja kat tempat lama. Berhenti."


"Tempat tu tak seronok lah ibu. Banyak sangat politik pejabat. Maya tak minat."


"Ish...awak ni. Mana-mana tempat kerja pun ada kelebihan dan kekurangan masing-masing."


"Memanglah ibu tapi tempat tu tak sesuai dengan jiwa Maya."


"Habis nak buat apa sekarang?"


"Tengah fikir lah ni."


"Jangan fikir lama-lama sangat. Ibu dan ayah pun dak lama lagi nak bersara dah."


"Eh! ibu kan muda lagi. Kulit tegang."


"Awak jangan nak bodek ibu pula. Terima kasih 'pancake' dan teh tarik yang sedap tu. Jangan lupa basuhkan pinggan dan cawan ibu."


"Takda masalah. Maya kan anak mithali."


"Yalah tu."


Laju ibu melangkah mahu masuk ke bilik tidur.


"Ibu," jerit ku.


Ibu berpaling memandang aku tanpa berkata apa-apa.


"Jangan tidur dulu nanti jadi ikan buntal."


Ibu hanya tersengih.



24 Mei 2011: 10.00 malam

Geram betullah. Aku tengah enak-enak tidur tadi tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi. Apalagi terpisat-pisatlah aku. Capai sahaja telefon, bunyi deringan itu berhenti. Penat tau...Sia-sia sahaja aku melompat dari katil. Habis tenaga aku! :) Itu kata-kata orang yang tak berapa rajinlah tu. Siapalah yang tembak aku malam-malam ni? Siapalah yang saja nak main-mainkan aku?


Tengah aku geram tu tiba-tiba pesanan ringkas pula masuk. Ringkas sungguh!


"Selamat malam. Jangan lupa basuh kaki."


Siapalah yang rajin hantar pesanan sebegitu kepada aku? Macamlah aku budak kecil kan (aku pnjam kata-kata Upin dan Ipin sekejap) Pening juga kepala aku dibuatnya. Pening-pening pun tak lama. Setengah minit bersamaan 30 saat sahaja. Tak laratlah nak fikir panjang-panjang. Ini bukan masalah negara pun!


Hati kecil aku memang sudah ada suspek utama. Siapa lagi? Geng meja bulat aku lah tu. Mesti mereka hendak lihat apa reaksi aku. Malaslah mahu membalas. Ikut sahajalah rentak permainan mereka.


Masalahnya aku sudah tidak boleh tidur. Tidur lena aku tadi telah diganggu oleh deringan tersebut. Bahayalah! Aku ni kalau tak cukup tidur, sakit kepala dibuatnya. Kalau beginilah ceritanya, alamatnya aku terpaksa buat kerja larut malamlah. Bukan 'on call' ya. Aku bukan anggota paramedik atau anggota keselamatan. Jadi tak dapatlah aku nak ke pejabat malam-malam begini.


Macam itu baik aku buat 'pancake' malam-malam begini. Aku memang suka makan 'pancake' atau lempeng lah kan. Kalau makan 'pancake' dan minum teh tarik malam-malam begini, pasti seoronok kan!

Wednesday, August 10, 2011

23 Mei 2011 : 9.00 pagi

Agak-agaknya siapa yang menelefon aku pagi-pagi begini ya?

Kalau suruh aku teka sendiri...Memang aku tiada jawapannya dan sebenarnya aku agak malas nak meneka...

Sudahlah 3 kali deringan...pada aku jika 3 kali deringan bermakna penelefon sebenarnya memang berniat nak menelefon tetapi apabila aku sudah berlari nak menghampiri telefon bimbit aku...deringan itu mati begitu sahaja. Tak pastilah sama ada sengaja atau tidak sengaja dan prinsip aku mudah sekali...jika penelefon tidak menelefon semula (1 miscall) sahaja...aku memang tidak akan telefon semula. Yalah manalah tahu jika tiba-tiba dia sudah tidak jadi menelefon semula. Lagipun nombor yang tertera di skrin telefon tu memang tiada dalam peti simpanan telefon aku. Maaflah ya...jika nombor yang tidak dikenali...aku memang tidak akan telefon semula. Takut! Sekarang ni macam-macam perkara boleh berlaku...Tak kisahlah sama ada orang nak kata aku konservatif atau tidak. Itu terpulang kepada mereka. Itu hak asasi mereka kan untuk berkata apa. Negara kita kan negara demokrasi.

Aku tahu kita perlu hidup bermasyarakat. Aku tidak menolak itu. Aku juga tidak mahu hidup di bawah tempurung...Alamak melalut pula aku dibuatnya.

Ops sekejap ya ada pesanan ringkas masuk. Nak terlompat aku dibuatnya.

"Salam ceria dan indah. Jaga diri"

Pendek sahaja ayatnya. Si penghantar adalah si penelefon yang tukar keputusan untuk menelefon aku tadi. Pelik kan! Dalam sekelip mata dia boleh ubah keputusan daripada menelefon kepada menghantar pesanan ringkas yang sememangnya ringkas...Hmm...Siapa ya? Yang pasti bukan daripada kawan lelaki aku sebab aku sememangnya tiada kawan lelaki yang rapat.

Entah-entah ini kerja geng meja bulat aku ( hehehe kawan belajar masa kuliah dululah)...Mungkin mereka saja nak mengusik aku sebabnya antara kami berempat aku seorang sahaja yang masih belum berpunya. Yang lain-seorang dah bertunang, seorang dah bernikah dan bakal menjadi seorang ibu dan seorang lagi-Insya ALLAH akan dirisik tak lama lagi...Macam ni aku kena diamkan diri dulu dan tengok apakah langkah seterusnya yang geng meja bulat aku nak lakukan....

Tuesday, August 9, 2011

21 Mei 2011 9.00 pagi




Sebagaimana yang aku janjikan semalam, biarlah aku ceritakan sedikit perbualan antara aku dan ibu malam tadi...Ayah tiada di samping ibu. Sedari tadi aku nampak ayah merebahkan tubuhnya di sofa sambil menonton rancangan sukan kegemarannya. Apa lagi? Bola yang asyik dilantun ke sana sinilah tu..dan bola itu tidak boleh berhenti di satu tempat. :) Bola sepaklah jawapannya. (Maaf ya ini bukan teka-teki). Bila ternampak aku tadi, ayah hanya tersenyum lebar. Bagi aku itu tanda ayah berpuas hati dengan masakan aku yang sungguh ringkas itu. Apapun aku sedai maklum, ayah tidak cerewet dengan makanan. Yang penting halal dan bersih.



Mula-mula aku nampak wajah ibu agak tegang. Hati aku sudah dap dup dap dup. Apalah agaknya silap aku? Hati aku sudah jadi gundah gulana.

"Penat masak?"

Aku hanya memandang wajah ibu sambil tersengih. Agak-agaknya kata-kata itu berbentuk sindiran atau ambil berat? Aku tertanya-tanya. Tidak dapat nak meneka emosi ibu di kala ini. Pada aku, ibu sememangnya bijak menyorokkan emosinya.

"Lepas ni, bolehlah ibu jemput lebih ramai datang ke rumah. Ibu senang hati. Sudah ada tukang masak alternatif di rumah," sambung ibu seraya tersengih.

Hati aku penuh kelegaan. Syukur aku tidak memalukan keluarga. Yalah kalau termasin atau termasin atau gosong makanan tadi mesti ibu aku malu macam aku kan! Nah! sekarang aku tahu ibu bangga dengan aku. :) Sekarang hati aku penuh dengan bunga-bunga yang mekar sebabnya aku gembira dengan pujian ibu.

"Mana boleh lawan masakan ibu lagi?"

"Memanglah tak boleh lawan," ibu bersuara nakal, mahu mengusik aku.

"Tapi sedap hingga dipuji melangit oleh budak Hazrul Fazrin tadi. Banyak kali dia tambah."

Gulp...aku menelan air liur. Terkejut dengan kata-kata ibu. Tak silap aku, bukan dia seorang yang tambah banyak kali. Ayah dan si tembam Naim (adik aku) tu pun tambah banyak kali juga.

"Cuma Makcik Suraya terkejut Maya sekarang pendiam sungguh. Tak macam dulu."

Aku hanya tersengih lagi. Sebenarnya aku ni bukannya pendiam, tetapi yalah dah lama sungguh aku tak jumpa dengan jiranku itu. Apa yang aku nak bualkan. Tak mungkinlah aku nak tanya 'Siapa nama awak?' atau 'Tengah buat apa tu?'

20 Mei 2011 9:43 malam



Sekarang aku sedang kepenatan yang amat. Manalah aku nak sangka tetamu malam ini ialah 7 orang. Kenapalah ibu tak nak beritahu awal-awal? Hal-hal mengenai kedatangan tetamu bukanlah hal main-main. Aku memang hormati kedatangan tetamu. Betul aku tak tipu. Mujurlah nasi itu cukup-cukup sahaja. Ikan siakap goreng itu juga agak gergasi saiznya. Syukur aku terfikir untuk goreng 2 ekor. Kalau seekor, habislah. Malu aku sebagai tukang masak. Alahai aku! Insaflah aku sebagai tukang masak kalau makanan tadi tak cukup…

Dalam hal ini, aku memang tak boleh dipersalahkan. Heheheh itu semua ayat nak selamatkan diri sendiri. Jangan marah ya! Kalau semua nak tahu, itulah antara lauk yang aku masak iaitu 2 ekor ikan siakap gergasi yang dimasak tiga rasa, sotong bakar dan ulam-ulaman berserta sambal belacan. Hehehe sebenarnya aku tak sempat nak masak sayur lah. Padan muka aku siapa suruh lambat sangat dapat idea nak memasak. Aku petiklah ulam raja yang ditanam oleh ayah serta potongkan sedikit timun. Itu sahaja yang ada. Alahai!

Kalau semua nak tahu siapalah tetamu istimewa emak dan ayah aku tu. Mari aku cerita sekarang. Siapa sangka selepas berpuluh tahun, aku boleh jumpa semula dengan jiran keluarga aku semasa kami di Pahang dulu. Antara jiran yang rapat dengan keluarga aku. Rasa malu pula sebab sebenarnya masakan aku tadi termasin sedikit. Alahai! Aku dah tambah gula, tambah garam lagi, tambah gula lagi, tambah garam lagi…rasanya masih tak berubah…masin juga. Malu kan aku.

Yang paling aku tak sangka si budak Hazrul Fazrin, si budak nakal yang suka tarik rambut aku masa di tadika KEMAS tu ada juga. Lain kali aku cerita lagi ya, tangan aku sudah lenguh dan emak sudah panggil aku banyak kali. Janganlah emak bagi komen mengenai masakan aku tadi

20 Mei 2011 2:38 petang




Hari ini aku termenung di tepi jendela, melihat butiran hujan yang deras jatuh menimpa bumi. Kan seronok jika aku boleh bermain-main dalam hujan seperti dulu. Menjerit-jerit dan bermain-main menggelecek bola seperti di zaman kanak-kanak dahulu. Zaman yang penuh keriangan dan keceriaan. Zaman yang tiada keributan dan kekusutan.

Jika hari ini di usia begini, aku bermain seperti itu, pasti ada yang menyangkakan aku pesakit mental yang baru lari dari hospital. Hehehehe…lagi-lagi jika aku memakai pakaian putih penuh pula dengan lumpur. Sah! Ada bunyi siren ambulans yang akan berbunyi mengejar aku. Kacau nanti dibuatnya.

Sebenarnya hari ini minda aku sedang ligat berfikir. Apalah lauk makan malam yang hendak dimasak malam ini? Takkanlah nak masak lauk orang bujang, telur goreng mata kerbau dan sambal ikan bilis sahaja. Nanti ibu pasti membebel, terlalu ringkas lauk itu untuk dihidangkan kepada tetamu istimewa yang datang daripada jauh. Siapalah agaknya tetamu istimewa yang akan datang menjengah ke rumah kami malam ini. Kenapalah ibu dan ayah mahu berahsia sangat? Pelik!

Nanti malam aku akan ceritakan lagi ya kerana sekarang ini aku perlu masak dahulu…Nanti aku ceritakan apa yang aku masak dan yang paling penting siapalah tetamu yang akan datang tu…Harap-harap tak adalah kejutan itu terlalu hebat sangat. pengsan aku dibuatnya nanti

Wednesday, July 6, 2011

SIRNA MUSIM BUNGA BAB 1

BAB 1
Petaling Jaya, Selangor : Muhamad Adib : Sekarang

Terik mentari petang menghangatkan alam nan indah, bersaksikan awanan putih di dada langit. Kawasan Lembah Klang tidak pernah sunyi daripada bayangan ribuan manusia yang tetap meneruskan aktiviti seharian di celah debu-debu kota dan hiruk-pikuk kenderaan bertali arus di jalan raya. Di satu sudut kelihatan Adib, seorang eksekutif di sebuah syarikat pengiklanan yang sedang meningkat naik memandu kereta dalam keadaan tergesa-gesa menyusuri Lebuhraya Persekutuan.


Kurang setengah jam yang lalu, dia membawa kereta keluar daripada lot parkir sebuah gerai makan di Pantai Dalam. Perutnya memulas-mulas tidak selesa, berangin dan rasa hangat terbit di ulu hati. Lidahnya terasa pahit dan tekaknya terasa mual. Hatinya mengeluh sendirian memikirkan kehadiran simptom ini di waktu yang kurang sesuai. Buat kali kedua dalam bulan ini dia diserang diarrhea, akibat jadual makan yang terganggu. Tak dapat dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduannya. Jari-jemarinya dikejapkan pada stereng kereta Toyota Rush hitam berkilauan miliknya.


Di Lebuhraya Persekutuan yang dibina menghubungkan bandaraya Kuala Lumpur dan Bandar Klang, Selangor itu, kenderaan berpusu-pusu menyusuri lorong. Almaklumlah waktu makan tengahari; ramai yang keluar memandu untuk mengisi perut yang berkeroncong, apatah lagi si Adib yang tidak sempat bersarapan pagi tadi.

Dia tidak menafikan bahawa dia makan terlalu banyak, melebihi keperluan tubuh, melampaui ruang kosong di dalam perut dan memaksa sistem penghadamannya berfungsi melewati kebiasaannya. Nasi yang bertimbun, seketul peha ayam goreng, gulai daging, kerabu kerang, ulam timun dan sambal belacan disusuli dengan sirap limau ais. Apabila rakannya Din menegur. Pendek dia menjawab.


”Aku double pengambilan lunch. Lapar… tak sempat breakfast. Banyak kerja. Tak
payahlah hang pandang aku macam tu. Aku faham bebenor dah.”


”Hang ni, tak sudah-sudah. Breakfast tu penting tau untuk mengembalikan tenaga dah hilang,” pantas Din membalas.


Dia amat memahami penyataan Din yang berulangkali didengar tetapi sungguh dia tidak dapat mencuri masa untuk mengisi perutnya pagi tadi.


Setiba di pejabat, En. Azmi Shahid, Pengurus Besar datang menjenguk meminta penjelasan mengenai iklan syampu terbaru yang masih belum siap. Puas juga dia menerangkan kedudukan masalah kelewatan iklan tersebut yang berpunca daripada pindaan warna grafik oleh pelanggan di saat akhir. Kemudian segera dia bergegas ke bangunan The Gardens yang letaknya bersebelahan dengan Midvalley Megamall dan dihubungkan secara unik oleh sebuah jambatan; menemui pelanggan terbaru syarikatnya. Segera selepas itu dia ke Pantai Dalam untuk makan bersama rakan serumahnya, Din.


Sepanjang malam tadi dia meneliti portfolio syarikat terbabit bagi memahami bidang perniagaan mereka serta produk-produk yang dipasarkan. Dia tidak mahu hadir menemui pelanggan tanpa sebarang idea mengenai perniagaan yang dijalankan. Baginya pertemuan pertama amat penting, dia membawa imej dan reputasi syarikat. Di bahunya tergalas kepercayaan majikan serta rasa tanggungjawab terhadap jawatan yang disandang. Tidak sekalipun dia menjalankan tugas sambil lewa, segala perkara berkaitan akan diteliti sedalamnya.


Mengikut prinsipnya dia akan melakar beberapa perancangan sebagai cadangan pertama, kedua dan ketiga. Perancangan itu akan dibentangkan dan dilaporkan kepada pengurus dan pasukan kerjanya terlebih dahulu sebelum ia dikemukakan kepada pelanggan. Segala penambaikan akan dilakukan secepat mungkin.


Kenyamanan pendingin hawa kereta tidak dirasai oleh Adib lagi, ia seolah ditenggelami rasa hangat dan terik panas mentari di waktu jam menunjukkan 1.45 petang. Bahangnya terasa di jari jemari dan dia mengusap-usap anak rambutnya yang kemas tersisir. Sedari tadi dia terpaksa memandu mengekori sebuah kereta kancil biru metallic yang bertanda P, yang dipandu terlalu berhati-hati. Hatinya panas tidak sabar, sudahlah perutnya memulas-mulas. Pantang sungguh dia kerana tidak dapat memecut dalam keadaan begitu, dia perlu segera mencari tandas berdekatan.


”Ni mesti pemandu perempuan,” mulutnya membebel sendirian. Stigma biasa yang sering diimaginasikan oleh para pemandu di jalan raya. Terlihat seorang wanita bertudung ungu cerah di sebalik kerusi pemandu.


”Ha kan betul aku kata. Agaknya bawa kereta kurang 20 km/jam. Macam kura-kura. Ish.. geramnya. Sampai esok pun tak sampai. Takkan bawa kereta otomatik pun macam ini,” bebelannya disambung. Perutnya ditekan-tekan perlahan dan wajahnya berkerut menahan rasa tak selesa yang masih bersisa sedari tadi.

”Kalau nak bawa perlahan, janganlah bawa kat lorong tengah. Diam-diamlah kat
lorong kiri. Aku dah tak sabar ni. Dahlah isi perut aku dah nak terkeluar ni,” hatinya mendidih sendiri, dia sudah tidak berupaya menahan rasa kurang enak yang menjalar di perutnya. Mujurlah juga organ pencernaan itu tidak meletup dan keretanya menjadi mangsa. Dek kerana kemujuran dan kekalutan menahan ketidakselesaan yang bermaharajalela sejak tadi, kereta kesayangannya itu melanggar kereta hadapan yang diekorinya dengan rapat sedari tadi.


”Dummm…,” dentuman yang kuat kedengaran. Adib merasakan keretanya bergoyang dan dia mengeluh sendiri memikirkan kecuaiannya mengekori kereta kancil itu terlalu hampir lantas tidak menyedari pemandu hadapan menekan pedal brek secara mendadak menyebabkan kedua kereta itu bertembung. Lantas dia menukar halaju dan memasukkan gear 1.


”Astaghfirullahalazim. Habislah kereta aku,” bibir Adib mengeluh. Mujur juga kereta di belakang memandu agak jauh, mengelakkan daripada perlanggaran demi perlanggaran berlaku dan lebih banyak kenderaan terlibat. Di kala beribu kenderaan bersesak-sesak menyusuri lebuhraya, pelbagai kejadian yang tidak diingini boleh berlaku.


Hati Adib muram sendiri memikirkan bahawa dialah punca kemalangan itu. Segera dia menekan hon berulangkali, membuka cermin kereta dan menjerit meminta wanita bertudung ungu cerah itu bergerak ke bahu jalan. Syukur juga kedua-dua kenderaan masih boleh bergerak; jika tidak, pasti lebuhraya akan bertambah sesak dan perjalanan kenderan lain akan terganggu.


Adib memberhentikan keretanya di bahu jalan. Rasa terujanya sedari tadi untuk memandu laju bagi menghilangkan gelodak perutnya hilang bagaikan ditiup angin. Segera gear bebas dimasukkan dan brek tangan diangkat. Keretanya dipastikan terkunci sebelum dia sendiri keluar melihat kerosakan yang berlaku pada kereta kancil tersebut serta keretanya sendiri. Kepalanya menggeleng perlahan melihat bampar belakang kenderaan comel itu telah terkoyak dek perlanggaran tersebut manakala cat hitam tercalit merosakkan warna asal kereta tersebut. Toyota Rushnya sendiri pecah lampu hadapan dan warna biru metallic terpalit tidak sekata pada bampar hadapannya.


Pemandu kereta kancil yang nampak bersih dan kemas itu masih tidak melangkah keluar dari kereta. Adib teragak-agak untuk menghampiri dan mengetuk pintu hadapan pemandu, memikirkan reaksi spontan yang akan dipamerkan oleh pemandu terbabit. Lidahnya melafazkan kalimah yang mulia.

”Bismillahirrohmanirrohim,” tubuh sasanya digerakkan perlahan-lahan menghampiri kereta tersebut. Kolar kemeja biru mudanya mulai lembap dek peluh yang menitik akibat rasa bahang mentari. Adib mengetuk perlahan cermin pemandu kereta kancil dan mengisyaratkan supaya cermin itu dibuka.

Wanita tersebut menurunkan cermin tingkapnya sedikit.


”Sekejap ya, saya sedang telefon,” nyaring suara itu bagai pernah kedengaran di gegendang telinga Adib. Suara itu jelas gugup dan bergetar. Adib mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan. Dia mengalihkan pandangannya semula ke arah tempat duduk belakang kereta, kelihatan beberapa novel terbitan Buku Prima Sdn. Bhd. yang mempunyai grafik kulit yang menarik dan matanya turut tertancap ke arah beberapa buku resipi yang turut diterbitkan oleh penerbit yang sama.


‘Emmm ulat buku rupanya,’ hatinya berdesis perlahan dan bibirnya menguntum senyuman bagi menenangkan hatinya.


‘Wei tenanglah Adib. Tak payahlah kalut sangat. Bukan boleh ulang masa pun,’ hatinya menggumam sendirian dan deria pendengarannya menangkap beberapa patah perbualan di antara wanita itu dengan seseorang melalui telefon bimbit.

”Humaira dah bawa perlahan macam nasihat abah tu.”


”Tak abah, Humaira tak duduk kat lorong laju pun. Humaira kat lorong tengah. Kereta itu yang salah, dia ikut dekat sangat. Bila Humaira brek, dia langgar,” wanita itu menerangkan kejadian kemalangan yang berlaku.


’Aik, aku pula yang salah!’ gumam Adib.


”Humaira brek sebab kereta depan brek. Humaira takut kereta tak sempat perlahan nanti terlanggar kereta depan,” panjang lebar penjelasannya diberikan.


”Kereta hitam Toyota Rush abah. Budak handsome debab.” Adib membulatkan mata tidak memahami penyataan aneh itu.


’Budak ni biar betul. Takkan tak keluar dari kereta lagi dah boleh nampak muka aku yang handsome ni. Agaknya handsome muka aku ni setanding dengan Brad Pitt kot!’ bisik hati kecilnya tidak percaya.


’Perasan,’ dia tertawa sendiri.


‘Tapi takkan dia kata aku, budak handsome debab’ hatinya berbicara sendiri. Bibirnya mengukirkan senyuman manis menandakan bahawa jiwanya berbunga riang mengenangkan kata-kata pujian itu. Perasan!


‘Tak sangka aku ni handsome jugak eh… tapi aku tak debablah’ dia berasa tidak puas hati dengan anggapan tersebut dan hatinya segera menafikan penyataan itu.

”Cis…dahlah sebabkan kereta aku calar-balar, siap boleh menggelar aku macam tu. Tak puas hati ni. Nak kena ceramah budak ni nanti,” bibirnya menggetus perlahan. Dia terdengar keriut bunyi pintu kereta dibuka secara berhati-hati dan derap-derap kasut perlahan kedengaran menghampiri. Wanita bertudung ungu muda itu sudah tercegat di belakang Adib. Entah mengapa hatinya berdetak-detak membentuk sebuah irama yang sudah lama tidak bergetar di dadanya.


”Encik,” suara wanita itu kedengaran dan Adib segera berpaling. Matanya terpandang wajah seorang wanita melayu, manis bertahi lalat dan berkulit kuning langsat. Wanita itu berpakaian baju kurung putih sutera dan berbunga kecil berwarna ungu; di celah-celah bunga kecil itu terselit labuci-labuci yang dijahit ekslusif mengikut corak bunga.

”Encik,” kali ini nada suara wanita itu semakin tinggi dan Adib menyedari wanita itu nampak menggeletar sedikit dan jari-jemarinya yang menggenggam telefon bimbit kelihatan menggigil.

”Maaf tak sengaja terlanggar kereta cik. Cik bawa kereta boleh tahan perlahan dan
saya tak dapat nak agak jarak pemanduan kerana cik asyik brek sahaja daripada tadi,” bait-bait perkataan itu akhirnya keluar daripada bibir Adib yang berkumis halus, rapi terjaga. Wanita itu tampak tersenyum sedikit.


‘Manis’ sempat lagi hati Adib memuji.


”Ok ok. Sebenarnya encik pun tak berapa salah. Maaf, sebenarnya inilah hari pertama saya bawa kereta sendiri kat sini. Pening sebab terlalu banyak kereta kat lebuhraya ni. Sesak pulak tu,” wanita itu menjelaskan.


Adib mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami. Senyuman wanita itu dibalasnya. Perbualan mereka bertambah panjang, bercerita semula mengenai situasi perlanggaran yang tidak disengajakan itu disusuli dengan anggukan dan gelengan kepala sesama mereka. Sesekali kedua mereka berbalas pandangan. Masing-masing mengeluh mengenangkan kembali kejadian itu.


”So.. ,” dia terdengar suara wanita itu agak teragak-agak.

”Sogo lah,” Adib menjawab nakal. Segera gurauannya memotong ayat wanita itu dan dia rancak tertawa.


Dia memahami hasrat yang tersirat di hati wanita. Sengaja dia mahu menyakat. Namun wanita itu tampak kurang faham dan hanya membisu membatukan diri. Daripada kerutan yang terukir di dahi wanita muda itu, dia faham bahawa minda wanita itu ligat berfikir, cuba memahami gurauannya dan selepas beberapa saat, wanita itu akhirnya tersenyum sedikit tanda memahami.


”Takpa saya akan bayar kerosakan kereta cik. Saya pun malas nak besar-besarkan perkara ini. Cik hantar aja kereta di bengkel, minta anggaran bayaran kerosakan dan saya akan bayar wang pendahuluan dulu,” Adib menyeluk poket seluar panjang Tommy Hillfiger berwarna hitam yang dipakainya dan dia menghulurkan kad perniagaannya kepada wanita bertudung ungu cerah itu.

”Nama saya Adib. Ni kad saya. Nanti beritahu saya anggaran bayaran kerosakan ya,” pantas Adib mencadangkan jalan penyelesaian yang terlintas di fikirannya.


”Nama cik?” Adib bertanya lagi apabila melihat wanita itu hanya mendiamkan diri.


”Saya Sarah Humaira. Tapi saya sebenarnya er… tak berapa tahu bengkel di sini,” segera wanita bernama Sarah Humaira itu menerangkan dan dahinya berkerut mengukir garisan halus. Segera Adib melihat ke arah jam tangan di pergelangan tangan kanannya.

”Emm.. kalau macam tu, cik ikut saya dari belakang. Kita pergi bengkel kawan saya di Bangsar. Dekat dengan Bangunan IKU. Lepas tu saya hantar cik pulang ke pejabat. Pejabat cik di mana?” soalan Adib segera menerjah apabila dilihat Sarah Humaira hanya mendiamkan diri bersetuju dengan pendapatnya.


”Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1,” pantas suara Sarah Humaira menjawab.

”Bagus-bagus. Pejabat saya di Pusat Dagangan Phileo Damansara 1. Tak jauh lah tu. Ha jom kita pergi sekarang.”

”Encik,” mendengar panggilan itu, Adib menoleh memandang raut wajah manis yang sedari tadi menggetarkan jiwanya. Sungguhlah definasi kecantikan itu amat luas. Meskipun selama ini dia telah bertemu dengan ramai wanita lebih menarik, anggun bergaya; sukar benar hatinya untuk terpaut. Tetapi kali ini, dia sudah tidak mampu menolak kata hatinya; benar wanita itu telah menawan hatinya kini. Bukan hanya kini tetapi sejak dulu sewaktu dia bergelar seorang pelajar lagi. Di sini rupanya gadis yang pernah mengusik hatinya bersembunyi; berselindung di sebalik hiruk-pikuk jalan raya.

’Tak sangka rupanya kau ni puteri jalanraya wahai gadis. Namun silap kau juga gelaran itu tidak mencerminkan cara pemanduan kau yang nampak serba tak kena,’ hatinya berbisik nakal. Dia tersenyum memandang wajah manis itu.


”Tak perlulah encik panggil saya cik, panggil saja saya Humaira,” wanita itu tersenyum meluahkan kata.


’Wah! Senyuman kau bikin aku jadi sasau. Malam ini pasti tidur aku tidak lena. Silap-silap mengigau,’ ulas hati Adib tanpa sedar. Sekilas dia beristighfar beberapa kali selepas itu.


”Baik. Saya panggil Humaira. Humaira pun tidak perlu panggil saya encik. Panggil saja Adib,” balas Adib.


Senyuman ikhlas yang terukir sedari tadi masih mekar menghiasi wajah tenangnya. Humaira menggangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dan membuka pintu hadapan kereta kancilnya.

Adib segera beralih menuju ke keretanya yang kelihatan tidak kacak lagi di mata lelakinya. Dia menggeleng-gelengkan kepala dan fikirannya merancang masa untuk menghantar kereta itu ke bengkel selepas ini.


Pantas sungguh masa berlari meninggalkan insan yang sentiasa merasakan ketidakcukupan waktu dalam melaksanakan tugas seharian. Detik bertukar saat, saat bertukar minit dan minit bertukar jam; tibalah masa perpisahan antara Adib dan Humaira pada detik mereka mula merasakan bahawa mereka pernah bertemu sebelum ini. Namun hanya masa yang akan menentukan sama ada erti pertemuan kedua ini menjanjikan jaminan sebuah kebahagiaan buat dua hati yang mula merasakan satu penyesuaian.


”Emm... sampai dah kat Merchant Square,” Adib memberhentikan kereta dengan berhati-hati di tepi sebuah kereta Toyota Avanza hijau. Matanya memerhati ke arah bangunan yang pernah dikunjunginya beberapa kali sebelum ini.

”Ok. Terima kasih Adib.” Humaira melangkah keluar sambil fikirannya berlegar-legar cuba mengingatkan pertemuan pertama mereka sebelum ini yang samar-samar hadir dalam ingatannya.


”Eh Humaira, awak tak bagi nombor telefon tadi. Boleh bagi sekarang,?” celah Adib mematikan langkah Humaira.


’Nasib baik ingat nak minta.’


Perpisahan keduanya bagaikan mengungkapkan permulaan sebuah kisah. Perjalanan Adib ke Pusat Dagangan Phileo Damansara 1, disertai dengan satu kepuasan dalam hatinya. Dia pasti dan teramat pasti, itulah Humaira yang pernah ditemuinya di Perpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia suatu masa dulu. Insan istimewa yang sentiasa bertakhta dalam hati, menjadi ratu dalam jiwa dan tegar bersemadi di sanubarinya. Cuma kali ini Humaira hadir pada detik waktu yang kurang tepat. Ketidaktepatan yang membangkitkan perasaan ketidakpastian di hati Adib sendiri dan mencalar balarkan prinsip hidupnya sekali lagi. Ketika itu, perut Adib memulas-mulas semula dan tercetus satu patah perkataan dari bibirnya.

”Sarah Humaira,”


Bibirnya mengulas senyuman lagi dan hatinya berbunga riang. Alam ini dirasakan semakin indah selepas kekosongan hatinya terisi. Diisi oleh wanita muda yang hanya dijumpainya semula selepas lapan tahun.

Monday, July 4, 2011

Cerpen ANAK VS SUAMI

Cahaya mentari yang telah sirna menghasilkan panorama yang redup dan gelap. Malam yang ditunggu-tunggu ini sinonim degan istilah rehat dan tidur. Ramai insan yang menantikan malam untuk merebahkan tubuh yang keletihan bagi mengembalikan semua tenaga yang hilang. Namun Izyan masih setia di sofa ruang tamu rumahnya.
Perutnya yang semakin membengkak dielus-elus lembut. Dia tersenyum sendiri. Wajahnya bercahaya, ceria dan bahagia. Seluruh alam serasa turut mengiringi kegirangannya. Kesakitan yang dirasakan di sekujur tubuh kecilnya sedikit pun tidak mematahkan putik-putik harapan yang telah lama berkembang membentuk warna-warna kegembiraan dan keriangan. Inilah suatu perasaan yang telah lama dinanti-nantikannya. Perasaan tulus dan suci yang telah lama dirangka di benaknya dan kini benar-benar dialaminya. Perasaan seorang wanita yang bakal memilik cahayamatanya sendiri.
Izyan senyum lagi. Majalah di tangan dibelek-belek tanpa penghayatan yang penuh. Peti televisyen yang mempertontonkan telefilem Melayu turut tidak berjaya menarik minatnya. Dia seakan-akan berada di awang-awangan, terperangkap di sebuah dunia khayalan yang penuh keindahan. Akhir-akhir ini bayi di dalam kandungannya semakin aktif bergerak, tubuhnya lesu kerana tidurnya semakin terganggu. Ada saja gerakan halus yang mengejutkannya dari lena yang sebentar cuma.
“Senyum seorang nampak,” tegur Syuaib, suaminya. Izyan tersipu-sipu. Pasti adegan khayalannya telah diperhatikan oleh sang suami sejak tadi.
“Yan fikirkan apa?”
Izyan menggeleng-geleng. Malu untuk berkongsi skrin khayalannya yang berjaya diterjah oleh sang suami. Syuaib mendekatkan diri. Wajah isterinya yang semakin tembam dan ceria ditenungnya. Hidung Izyan ditariknya lembut. Dia faham maksud keriangan itu, malah dia sendiri berkongsi akan perasaan itu. Siapalah yang tidak akan bahagia menunggu detik-detik manis kelahiran buah cintanya sendiri. Melihat sendiri kekuasaan ILAHI dalam kewujudan bayi di dalam kandungan dan melihat perut sang ibu rupawan membesar dari hari ke hari benar-benar menerbitkan rasa keinsafan dalam hidupnya.
“Tak mahu berkongsi dengan abang ke?” duga Syuaib lagi. Izyan hanya tersengih.
“Yan fikirkan tetang anak kita. Tak sabar rasanya nak lihat dia keluar dari perut Yan. Agak-agaknya ikut muka siapalah dia nanti,” ucap Izyan lembut. Akhir-akhir ini mudah benar fikirannya berkelana memikirkan hanya yang terindah untuk bayi dalam kandungannya. Hinggakan pembelajaran dan perkahwinan anak turut terlintas di sanubarinya. Malu dia untuk bercerita hal yang sebenar.
“Abang tengok Yan selalu sangat bermenung sekarang. Abang faham hati Yan tapi Yan lebih banyak bersendiri sekarang. Kadang-kadang abang bercakap dengan Yan pun, Yan sempat mengelamun juga.” Syuaib meluahkan rasa hatinya. Sudah lama dia mahu menimbulkan persoalan ini namun bimbang hati isterinya akan terguris. Almaklumlah wanita mengandung, hatinya amat sensitif. Bimbang juga jika selepas kelahiran bayi yang ditunggu-tunggu, isterinya akan terus melupakan kehadirannya dalam dunia rumahtangga.
Izyan mengangkat muka, memandang wajah suaminya. Hatinya sayu, teguran lembut suaminya menusuk kalbu. Sungguh itu semua diakuinya. Dia terlalu menunggu kehadiran bayi ini. Apa tidaknya di kalangan kakitangan wanita yang bekerja di pejabatnya, dialah satu-satunya yang masih belum mempunyai cahayamata. Rasa tertekan hadir menerjah hatinya. Suaminya itu tidak pernah memaksa malah semenjak hari pernikahan mereka, Syuaib terlalu baik buatnya. Dialah suami dan dialah sahabat. Malah suaminya itu tidak pernah mengasaknya dengan persoalan cahayamata. Airmatanya tumpah ke pipi. Pantas tangan kasar milik suaminya menyeka butiran-butiran jernih itu.
“Maafkan Yan bang. Yan sedar kesilapan Yan. Yan lebih banyak menyendiri sekarang,” ucapan Izyan padat dengan esakan.
“Abang maafkan. Kerana abang sayangkan Yan dan rumahtangga kitalah, abang berterus-terang juga dengan Yan walaupun hakikatnya pahit umpama hempedu,” balas Syuaib.
“Abang perlukan Yan yang dulu. Yan yang abang kenal selepas tarikh pernikahan kita dua tahun lepas. Yan yang suka berdamping dengan abang. Yan yang suka bercerita dengan abang. Abang suka melihat Yan di sebelah abang seperti dulu. Menghabiskan masa bersama-sama. Bergurau-senda. Abang tidak mahu kehilangan Yan,” sambung Syuaib. Tubuh isterinya dirangkul.
Wajah wanita yang dicintai sepenuh hati ditenungnya lembut. Dia tidak mahu menjadi seperti Kifli rakan sepejabatnya yang mencari wanita lain semata-mata berasa hati diabaikan sang isteri yang lebih mengutamakan anak-anak. Sungguh dia tidak mengharapkan agar dilayan seperti seorang raja namun cukuplah agar masa-masa yang terluang dimanfaatkan bersama agar kasih sayang antara mereka lebih erat terpateri. Apalah gunanya berumahtangga sekiranya masing-masing menyendiri menjalani rutin hidup yang tersendiri.
“Yan pun sayang abang. Abanglah satu-satunya lelaki yang berjaya mencuri hati abang,” ucap Izyan sepenuh hati.
Yan akan cuba buang hobi baru Yan tu. Yan akan korek balik hobi lama Yan,” usik Izyan dalam tangisan. Airmatanya masih menitis sedari tadi. Mujur dia belum terlewat dalam mengejar hati suaminya sendiri.
“Oh! Maknanya abang ni cuma hobi lama Yan jalah ya. Apalah nasib badan. Yalah! Dah dapat gading bertuah, tanduk sudah tidak berguna lagi,” Syuaib pura-pura merajuk. Bibirnya mencebik namun hatinya tertawa, sengaja mahu melihat reaksi sang isteri.
Izyan tergelak melihat usikan suaminya. Syuaib yang kelakar, penyayang dan penyabar. Itulah kriteria istimewa yang menunjangi watak lelaki itu. Sungguh pernikahan mereka benar-benar membahagiakan hidupnya. Ketawa ria kedua mereka bergema di ruang tamu sederhana besar itu.
“Jom,” Izyan menarik tangan suaminya. Wajah Syuaib penuh tandatanya. Ulas senyum di wajah sang isteri tidak dapat merungkaikan tandatanya yang bermaharajalela.
“Nak pergi mana?”
“Nak pergi jumpa Mr. Tan.” Izyan tersenyum-senyum.
“Mr. Tan mana pula ?” Syuaib berdiri menuruti isteri kesayangannya. Pegangan tangan mereka dikejapkan.
“Mr. Tandas,” ketawa Izyan meledak.
“Oh! Nak kenakan abang ya,” hidung Izyan ditarik sekali lagi. Izyan segera terkocoh-kocoh melepaskan genggaman tangan suaminya. Sempat dia bersyukur ke hadrat ILAHI kerana memberikannya kesempatan bergelar seorang isteri dan bakal ibu, Insya ALLAH kedua-dua kurniaan itu tidak akan dipersiakannya.

Saturday, July 2, 2011

Tahniah 7 novel ALAF 21

7 novel jadi telefilem

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my (dipetik daripada http://www.hmetro.com.my/articles/7noveljaditelefilem/Article )

PENERBITAN novel berbahasa Melayu tidak kurang hebatnya jika dibandingkan novel berbahasa Inggeris. Ini terbukti dari segi penjualan serta pengiktirafan yang diperoleh novel tempatan lebih-lebih lagi yang diterbitkan Alaf 21.

Selepas Lagenda Budak Setan serta Ombak Rindu dilayarkan ke filem, kini
Global Station Sdn Bhd melihat ia sebagai peluang untuk memberikan yang terbaik kepada penonton dengan cara berbeza. Tidak memilih skala besar filem, Global Station menggunakan pendekatan menerbitkannya ke bentuk telefilem dan drama bersiri.


Penerbit Global Station, Datin Zaiton Mohd Jiwa berkata, mengangkat karya novel ini adalah sebagai satu usaha untuk mengikut peredaran semasa serta menyokong kesusasteraan Melayu untuk berkembang semula.

“Adaptasi novel kepada filem dan drama seakan-akan menjadi satu ‘trend’ yang semakin diminati. Sebagai pihak produksi, kepuasan penonton adalah keutamaan kami dan kerana itulah kami terpanggil untuk melakukannya.

“Pada masa sama, kami melihatnya sebagai satu acara mempopularkan kembali minat membaca, sekali gus menyokong karya penulisan sastera Melayu.

“Bahkan, seperti yang kita sedia ketahui, bahan bacaan seperti novel menampilkan jalan cerita yang cukup menarik dan ini membantu kami menyajikan produk bermutu buat penonton drama tempatan,” katanya.

Zaiton yang mesra dengan panggilan Kak Ton di kalangan media dan penggiat seni, memilih tujuh novel popular terbitan Alaf 21 untuk diadaptasikan ke dalam drama.

Karya itu adalah Jauh, Manisnya Cinta, Kau Yang Satu, Tiada Yang Kedua, Kau Untukku, Bayangan Rindu serta Adam dan Hawa. Semuanya akan ditayangkan menerusi saluran Astro Warna dan Citra.

Majlis memorandum dengan pihak Alaf 21 merangkap pelancaran tujuh drama itu turut dihadiri Penerbit Eksekutif Karangkraf Sdn Bhd, Firdaus Hussamuddin; Pengurus Saluran Astro Citra, Shoba Devi dan Pengurus Saluran Warna, Nizam Sani.

Mengenai pemilihan tujuh novel itu, semestinya ia dipilih berdasarkan popularitinya selain jalan cerita berbeza-beza, namun masih sarat dengan pengajaran seiring ‘trademark’ Global Station sebelum ini.

“Ketujuh-tujuh novel itu dipilih berdasarkan populariti novel itu di pasaran. Salah satunya yang paling saya minat adalah Adam dan Hawa yang menceritakan kecekalan seorang wanita. Ceritanya yang menarik dan memberi inspirasi kepada semua.

“Saya difahamkan, tujuh novel yang dipilih antara 10 novel yang mencatat jualan tertinggi di Alaf 21 dengan jualan melebihi 80,000 unit,” katanya.

Mengenai kos pembikinan pula, Kak Ton tidak menafikan kosnya lebih tinggi berbanding drama biasa memandangkan ada sesetengah jalan cerita membayangkan watak sedang berada di negara tertentu.

“Menyentuh naskhah Adam dan Hawa misalnya, ada bahagian babak yang penulis bayangkan di Perth, Australia dan Makkah. Justeru, untuk menterjemahkan novel ke bentuk drama dan mengekalkan kesamaan jalan cerita, kami sebagai penerbit harus melabur untuk mendapatkan visual sebenar seperti dinyatakan penulis,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Ekskutifnya, Zetty Adila menambah, tujuh novel itu dipilih kerana ia menampilkan jalan cerita serta mesej yang berlainan manakala kumpulan Hujan dilantik untuk menghasilkan lagu tema untuk drama yang berkenaan.

“Dalam semua tujuh novel itu, enam daripadanya akan kita adaptasi kepada telefilem manakala yang satu lagi iaitu Adam dan Hawa akan diadaptasi kepada drama bersiri. Kita tidak menjanjikan apa yang dibayangkan dalam drama 100 peratus sama dengan novel, tetapi kita pastikan isi atau cerita asalnya tak akan lari.

“Memastikan keasliannya terjaga, kita memilih penulis skrip yang sesuai dan berkemampuan iaitu Rozie Rashid dan Zaleha Hassan untuk menterjemahkan semula naskhah novel itu kepada skrip drama,” katanya.

p/s: Tahniah novelis hebat: Aisya Sofea, Anis Ayuni, Sania Yasmin dan Nia Azalea.....Hampir kesemua novel itu saya dah selamat membacanya....Tak sabar sungguh untuk menantinya di kaca televisyen

Thursday, June 30, 2011

SIRNA MUSIM BUNGA (PROLOG)

PROLOG
Muar, Johor : 18 tahun yang lepas.

Panahan matahari pagi kelihatan berbalam-balam menyuluh di celah-celah pepohonan rimbun yang megah menunjangi kawasan lapang yang dijadikan padang permainan di desa nan permai itu. Kelihatan beberapa kelompok kanak-kanak sedang riang bermain dan sesekali jeritan ceria dan ledakan ketawa bersahut-sahutan di antara mereka.


Seorang kanak-kanak perempuan yang bertocang dua memerhati permainan bola dua pihak yang sedang rancak berlangsung tanpa mengenal erti jemu. Sedari tadi dia bermain congkak tanah yang dimainkan bersama bijian getah dengan kelompok kanak-kanak perempuan yang lain. Kini terbit keinginan di hatinya pula untuk menukar angin dengan menyertai permainan tersebut. Dia mengumpulkan segenap kekuatan di hati untuk bertanya dan kakinya yang hanya berlapikkan selipar jepun itu perlahan menghayun langkah.


”Awak nak apa?” tanya seorang kanak-kanak lelaki yang tidak dikenali. Mungkin kanak-kanak itu tidak sekelas dengannya.


”Saya nak main sama, boleh tak?” kanak-kanak perempuan itu menjawab pertanyaan tersebut dengan sebuah soalan. Sebuah senyuman yang jujur dan manis diukirkan, memohon pengertian.


”Tidak boleh,” pendek kanak-kanak lelaki itu menjawab sambil mencebik. Wajahnya kelat dan matanya terbeliak dan mencerlang garang.


Kanak-kanak perempuan itu tersentak, hatinya tertanya-tanya. Apakah sebab-musabab yang menyebabkan dia tidak dibenarkan bermain bersama. Jika kerana dia seorang perempuan, beberapa orang kanak-kanak perempuan lain turut bermain sama. Jika kerana dia tidak memakai kasut, beberapa orang kanak-kanak lain turut memakai selipar jepun sepertinya.


”Kenapa?” pantas dia bertanya dan mindanya sudah berkira-kira untuk melontarkan hujah membalas bagi membantah penolakan tersebut.


”Awak anak pembunuh. Anak pembunuh tidak boleh bermain dengan kami,” balas kanak-kanak lelaki itu dengan garang dan jari-jemarinya menuding ke arah kanak-kanak perempuan tersebut, mengarahkannya untuk segera beredar.


Kanak-kanak perempuan itu terdiam dan hanya membatukan diri. Kata-kata yang diucapkan oleh kanak-kanak lelaki itu berlegar-legar di mindanya. Fikirannya ligat mencerna maksud yang tersirat dan tersurat di sebalik lontaran tuduhan yang diberikan kepadanya. Dia bukan anak pembunuh. Abah dan emaknya, orang baik-baik. Dia tidak pernah melihat kedua orang tuanya meninggalkan solat atau memukul orang. Hatta dia sendiri tidak pernah dijentik oleh mereka. Dia tidak percaya dengan tuduhan itu.


”Saya bukan anak pembunuh. Awak salah orang,” dia menepis tuduhan itu dengan penuh kesungguhan.


Dia tidak faham kenapa tuduhan itu dilemparkan kepadanya malahan dia sebenarnya tidak jelas akan alasan tersebut. Padanya, jika benar dia anak seorang pembunuh sekalipun; mengapa dia tidak dibenarkan untuk bermain bersama. Dia dididik supaya tidak membezakan taraf hidup seseorang dan persepsi ketidakadilan sekiranya seseorang dinilai berdasarkan kekayaan dan bukan kerana hati yang ikhlas dan murni terpampang jelas di benaknya.


”Anak pembunuh. Anak pembunuh,” kanak-kanak lelaki itu menjerit melontarkan semula tuduhan itu berulangkali.


”Bukan,” kanak-kanak perempuan itu membalas dan menjerit lebih nyaring lagi, tubuhnya yang kurus itu bergoyang-goyang menahan tangis. Tangan dan kakinya mula berpeluh menahan degupan jantung yang semakin pantas bergetar. Dia harus kuat untuk melawan tuduhan palsu itu.


”Anak pembunuh. Anak pembunuh,” penyataan itu dilaungkan dengan lebih kuat lagi dan beberapa orang kanak-kanak lain mulai menyambut dan mengikuti rentak tuduhan tersebut yang mula membentuk sebuah irama pilu. Irama yang diringi hentakan kaki berselang-seli, semakin menyentap hati kanak-kanak perempuan yang bertocang dua itu. Dia sudah tidak mampu membalas memandangkan tuduhan itu telah dilontarkan dengan kuat tanpa henti. Empangan air matanya pecah dan sedu sedan mulai kedengaran menemani diri. Dia masih terpegun di situ, kakinya bagaikan telah terpaku di rumput pendek yang kemas terjaga dan hatinya telah remuk-redam.


Sebuah perkataan berulang-ulang bermain di benaknya.


’Bukan,’ ’Bukan,’ ’Bukan.’ Namun perkataan itu hanya terkurung dalam benaknya dan tidak lebih daripada itu. Dia tidak mampu membalas ejekan yang dilakukan oleh kumpulan kanak-kanak terbabit.


Satu tepukan kemas yang lembut hinggap di bahu kanak-kanak perempuan itu. Dia mendongakkan wajah memandang sepupunya yang berwajah lembut tetapi tegas.


”Mari balik Humaira, kan aku dah kata jangan main dengan geng bola dua pihak itu. Mereka tidak mahu bermain dengan orang luar selain daripada geng mereka sendiri,” kanak-kanak perempuan yang dipanggil Humaira itu masih mematungkan diri. Wajahnya mendung dan juraian air mata masih setia membasahi pipinya.


”Kan aku dah kata, perempuan kena kuat. Kita tak boleh menjeng (kuat menangis) nanti orang tak suka. Kalau kau asyik macam ini, lagi orang suka nak main-mainkan kau. Berhenti menangis. Jom aku temankan kau balik rumah,” ucap sepupu Humaira tegas sambil memandang wajah kelompok kanak-kanak bermain bola dua pihak yang telah melukakan hati sepupu kesayangannya itu.


Sepupu Humaira itu sememangnya seorang yang kuat semangat dan cekal hati, mungkin juga kerana kedudukannya sebagai puteri tunggal di celah dua ekor kumbang yang sedang membesar.


Mendengar pujukan berulangkali dan tiupan kata semangat yang diluahkan oleh sepupunya, dia memusingkan tubuh kurusnya seraya menapak balik ke rumahnya. Tangan sepupunya erat digenggam.


”Alwani,” panggilnya perlahan dalam esakan yang masih bersisa. Sepupunya menoleh memandangnya dengan tenang.


”Benarkah aku anak pembunuh?” dia bertanya dengan naif. Dia faham maksud tuduhan itu, meskipun dia baru berusia tujuh tahun; namun dia sering menemani hobi abahnya menonton berita perdana. Malah akhbar Utusan Melayu yang dilanggan oleh abah, dibacanya hampir setiap hari.


Alwani menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal, rambutnya yang dibiarkan menggerbang itu sesekali menutup pandangannya dek hembusan angin yang bertiup agak kencang petang itu.


”Eh! Pembunuh tu orang yang menyebabkan orang lain mati kan? Mati tu pula, tidur yang tidak mungkin bangun-bangun lagi kan?” dia tersengih bertanya dengan jujur seraya menggaru-garu kepalanya dan Humaira mengangguk-anggukkan kepalanya.


”Macam itu, kau bukan anak pembunuh. Kalau kau anak pembunuh mesti Mak long dan Pak long sekarang dalam penjara kan? Macam anak Wak Dollah yang mencuri kedai hari tu. Tapi cuba kau tengok takda pun polis tangkap abah dan emak kau,” Alwani memberikan pendapatnya dengan yakin. Dia yakin tuduhan itu tidak berasas.


Derapan tapak kaki yang kedengaran mengekori mereka membantutkan perjalanan yang telah dimulakan. Kedua-dua mereka sama-sama menoleh. Wajah Shukri, abang sulung Alwani kelihatan sugul dan nafasnya kelihatan tercungap-cungap.


”Kenapa Humaira menangis?” tanya Shukri prihatin. Dia asyik bermain sepak takraw dengan rakan-rakan sehingga peristiwa yang berlaku tadi berlaku di luar jangkauannya. Mujurlah juga Nikmat, anak Hj. Naim menyedari bahawa sepupunya itu menangis.


”Kau kena buli ya?” dia melontarkan pertanyaan lagi tidak sabar.


”Mereka kata Humaira anak pembunuh. Budak lelaki baju belang-belang oren tu ketuanya,” terang Alwani.


”Kenapa tak bela diri?” tanya Shukri panas. Hatinya mendidih mendengar sepupunya itu dituduh. Jika tidak diterima bermain bersama, tidak perlulah memberi alasan kesat begitu.

”Cuba abang Shuk tengok, macammana Humaira nak bela diri. Diorang ramai,” balas Humaira sambil mengesat air matanya yang masih tidak henti mengalir.


”Biar abang Shuk ajar mereka,” Shukri mula melangkahkan kaki sambil jari-jemarinya digenggam kemas membentuk sebuah penumbuk. Humaira menarik tangan abang sepupunya yang empat tahun lebih tua daripada usianya sendiri.


”Janganlah abang Shuk. Budak-budak tu tak cukup berakal lagi,” dia tenang berbicara. Sungguh hatinya tidak gemar membalas kekerasan dengan sebuah kezaliman.


”Kita pun budak-budak. Takda pun buat macam tu,” Shukri masih tidak setuju dengan sifat sepupunya yang tidak suka melawan.


”Kita dah berakal bang. Betul tak Alwani?” melihat anggukan yang dibuat oleh adiknya berulangkali, hati Shukri yang sedari tadi panas mendidih, mulai sejuk perlahan-lahan.


”Okaylah macam tu. Abang pergi nasihatkan mereka saja. Abang kan lebih berakal daripada mereka,” ucap Shukri sambil tersenyum dan berlari meninggalkan kedua-dua kanak-kanak perempuan yang dikasihinya itu.



Hatinya girang memikirkan sifat Humaira yang mudah memaafkan. Namun hatinya berfikir sendiri. Apakah memaafkan bererti kanak-kanak itu telah melupakan apa yang telah berlaku? Sudah tentu memaafkan dan melupakan adalah dua sifat yang berbeza sama sekali, dan dia mengeluh dalam memikirkan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh kelompok yang diketuai oleh kanak-kanak lelaki berbaju belang oren itu.


Humaira dan Alwani tidak menunggu masa lantas meneruskan perjalanannya pulang ke rumah.

”Alwani, kau tahu kan nama ayah dalam surat beranak aku tak sama dengan nama abah. Agaknya aku ni anak angkat kan?” luah Humaira dalam nada yang amat perlahan. Persoalan itu amat sensitif.


Dia pernah bertanyakan soalan ini kepada emak tatkala dia menyedari perbezaan keterangan tersebut pada sijil kelahirannya tetapi hanya esak tangis yang diperolehi serta taburan sebuah janji yang akan dikotakan apabila Humaira benar telah bersedia suatu hari nanti.


”Kau ingat tak apa kata Pak Long pada cikgu kelas kita hari tu?” Alwani yang mengingati perbualan itu cuba mengingatkan sepupunya. Humaira hanya mengangguk perlahan.

”Pak Long kata dia adalah penjaga kau. Dialah yang bertanggungjawab kepada kau sepenuhnya. Apa bezanya penjaga dengan ayah kandung. Pada aku takda beza. Yang pentingnya Pak Long dan Mak Long sayangkan kau macam emak dan ayah aku sayangkan aku. Betul tak?” Alwani menambah. Sungguh perbualan kedua mereka jauh lebih matang daripada usia mereka yang baru setahun jagung.


”Kau beruntung Humaira. Ada budak langsung tak ada ibu bapa, tinggal dengan atuk yang dah tua pula. Kadang-kadang hidup pun mengharapkan belas ehsan orang lain,” Alwani masih setia mengulas.


Humaira mengangguk-angguk lagi. Wajahnya yang sedari tadi mendung seribu bertukar ceria. Senyuman manis terukir di bibirnya. Raut wajahnya nampak berseri-berseri.


”Aurat aku dengan abah macammana? Abah bukan muhrim aku. Kau ingat apa yang Ustazah Zainon ajar tempohari? Tentang aurat? Tentang muhrim?” wajah Humaira yang tadinya ceria berulit resah. Duka nestapa kembali bersarang dalam diri.


Alwani bungkam mendengar persoalan itu dan kedua-duanya menapak pulang ke rumah tanpa sebarang bicara. Tiada kata yang mampu terluah saat itu.