JOMLAH KLIK UNTUK TAHU LEBIH LANJUT

>

Thursday, August 11, 2011

24 Mei 2011 : 12 malam

Tengah aku enak-enak masak 'pancake' tadi. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh ibu daripada belakang. Mak oi! Aku bukan setakat melompat malahan aku menjerit macam orang kena geletek dengan tupai. :)


Ibu senang saja. Sengih memanjang lah.


"Ibu, kenapa tak bagi salam? Terperanjatlah Maya. Nasib baik Maya tak keluarkan aksi silat Maya tadi. Kalau tak, habislah ibu."


Sengihan ibu bertambah lebar.


"Eleh! macam pandai bersilat. Berangan!"


"Yalah dulu Maya nak masuk kelas silat, ibu tak bagi," keluh aku.


Terkenang peristiwa silam lah tu.


"Amboi, salahkan ibu pula. Awak tu dulu yang banyak alasan. Takutlah. Misai cikgu silat panjanglah. Sakit kaki lah. Awak kan pandai mereka alasan sebab itulah berhenti kerja pun tak bincang dengan ibu dan ayah dulu kan."


Ops tajamnya sindiran ibu, sampai menusuk ke jantung aku. Tersentuh dan terluka bagai ditusuk sembilu bisa. :) Dengan kata-kata itu, aku hanya mampu terdiam dan tak mampu mengarang sebarang alasan lah.


"Masak apa malam-malam?"


"Masak 'pancake'. Ibu nak?"


"Mestilah nak. Kalau anak dara ibu esok kahwin dan dibawa sang arjuna merantau entah kemana, tak dapatlah ibu nak merasa masakan anak dara ibu lagi," usik ibu.


Aku hanya tergamam. Kesitu pula sampainya kata-kata ibu. Sedih hati aku dibuatnya.


"Sebab itulah Maya berhenti kerja. Nak jaga ibu dan ayahlah."


Wow! Pandai pula aku menjawab.


"Oh! sebab itu rupanya. Baru ibu tahu. Tapi kalau awak tak kahwin, ibu lagi risau. Siapa nak jaga awak kalau ibu dan ayah sudah tiada nanti."


Riak suara ibu sudah berubah. Daripada nada mengusik kepada nada sedih. Tak boleh jadi ni! Banjir dapur rumah ni nanti!


"Budak tembam tu kan ada."


Aku sengaja ingin membawa perbualan itu supaya ceria sedikit.


"Naim itu lelaki, esok-esok kalau dia kahwin, takkan awak nak jadi pembantu rumah dia pula."


Oh! tidak. Kalau sampai jadi pembantu rumah Naim, tak mahu aku. Mesti sakit tangan aku, memasak tak henti-henti. Bukan aku tak tahu hobi si Naim tu. Hobi pertama makan. Hobi kedua makan. Hobi ketiga makan. Aku memang dah arif sangat.


"Dahlah tu ibu. Jom kita makan."


Aku menghidangkan 'pancake' di atas piring putih berbunga-bunga merah darah. Air teh tarik yang aku buat dalam bekas minuman putih tu aku bahagikan dua. Syukurlah! nampak berselera ibu makan. Aku takut ibu masih terbawa-bawa dengan kesedihan tadi.


"Lepas ni jangan tidur. Badan jadi ikan buntal nanti. Tak muat pula baju pengantin."


Mendengar usikan ibu, aku tertelan sepotong 'pancake' yang baru aku suakan masuk ke dalam mulut. Tak sempat aku kunyah 40 kali. Terperanjat aku.


"Lambat lagilah ibu. Calon pun belum ada."


"Lambat bila lagi? Awak tu dah 27 tahun. Takkan nak tunggu si Naim. Diakan baru tingkatan 4. Umur macam awak ni dah sesuai sangat."


"Nantilah dulu ibu. Malas nak fikir lagi. Maya akan baru berhenti kerja. Nak kena fikirkan kerjaya baru pula."


"Tulah, dulu dah elok-elok kerja kat tempat lama. Berhenti."


"Tempat tu tak seronok lah ibu. Banyak sangat politik pejabat. Maya tak minat."


"Ish...awak ni. Mana-mana tempat kerja pun ada kelebihan dan kekurangan masing-masing."


"Memanglah ibu tapi tempat tu tak sesuai dengan jiwa Maya."


"Habis nak buat apa sekarang?"


"Tengah fikir lah ni."


"Jangan fikir lama-lama sangat. Ibu dan ayah pun dak lama lagi nak bersara dah."


"Eh! ibu kan muda lagi. Kulit tegang."


"Awak jangan nak bodek ibu pula. Terima kasih 'pancake' dan teh tarik yang sedap tu. Jangan lupa basuhkan pinggan dan cawan ibu."


"Takda masalah. Maya kan anak mithali."


"Yalah tu."


Laju ibu melangkah mahu masuk ke bilik tidur.


"Ibu," jerit ku.


Ibu berpaling memandang aku tanpa berkata apa-apa.


"Jangan tidur dulu nanti jadi ikan buntal."


Ibu hanya tersengih.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca blok kongsi karya. Sudilah kiranya menitipkan komentar untuk saya memperbaiki garapan ini.